Status Pampasan Insurans Konvensional Selepas Kematian Pemilik Polisi

Jika sebelum ini saya ada kongsikan berkenaan perbezaan takaful dan insurans konvensional, kali ini saya nak share pasal status pampasan insurans konvensional selepas kematian pemilik polisi. Boleh atau tidak waris pakai duit pampasan tersebut.

 

Contoh:

Saya membayar polisi konvensional saya iaitu sebanyak RM 200 sebulan selama 3 tahun lepas dengan pampasan hayat bernilai RM 500,000 dan meletakkan isteri sebagai penama. Selepas kematian saya, siapakah penerima wang pampasan tersebut?

 

Perkara ini mungkin berlaku kepada anda sekiranya masih tidak dapat membezakan antara takaful dan insurans konvensional. Atau mungkin ada yang telah lama mencarum dalam polisi insurans konvensional dan tak bertukar kepada pelan takaful.

 

Jadi kita perlukan kepastian. Maklumlah, duit pampasan ini kebiasaannya dalam jumlah yang agak tinggi. Banyak perkara yang boleh diselesaikan menggunakan duit tersebut. Persoalannya, boleh atau tidak. Teruskan membaca huraian dibawah.

 

Status Pampasan Insurans Konvensional Mengikut Fatwa

 

Status pampasan insurans konvensional

 

Semua muamalah kita sebagai muslim adalah tertakluk kepada syariah islam yang telah ditetapkan.  Begitu juga dengan pampasan insurans takaful ini. Ramai yang ragu-ragu sama ada ianya halal atau haram. Adakah kesemua portion haram ataupun ada yang boleh diambil.

 

Jadi kita perlu berlandaskan fatwa yang telah dipersetujui oleh para ulama. Berikut adalah huraian majlis fatwa tentang status pampasan insurans konvensional. Sila semak artikel dibawah:

 

 

Majlis Fatwa Selangor

 

Berikut adalah fatwa tentang status polisi insurans konvensional berdasarkan Majlis Fatwa Selangor.

 

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011/ 12 Rajab 1432H telah memutuskan seperti berikut;

 

i. Insurans Konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan oleh Islam kerana amat bercanggah dengan Prinsip Islam. Oleh yang demikian, Pampasan Polisi Insurans Konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.

 

ii. Jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta pusaka si mati yang perlu diagihkan secara faraid. Manakala pampasan polisi insurans konvensional tersebut wajib dilupuskan untuk tujuan disucikan harta tersebut dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuk kepada golongan fakir dan miskin.

 

Majlis Fatwa Negeri Sembilan

 

Berikut adalah fatwa tentang status polisi insurans konvensional berdasarkan Majlis Fatwa Negeri Sembilan.

 

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa :

 

i. Insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.

 

ii. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.

 

iii. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.

 

iv. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (iii) di atas.

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan Majlis Fatwa Negeri Selangor dan Negeri Sembilan, jelas menunjukkan persamaan. Dimana ia menyatakan pampasan insurans konvensional yang diperolehi adalah diklasifikasikan sebagai harta tidak patuh syariah.

 

Maka para waris tidak boleh mewarisi duit pampasan tersebut. Ia juga tidak boleh dicampur sekali dalam pembahagian faraid. Perlu diasingkan dan sama ada dilupuskan atau diserahkan kepada baitulmal.

 

Jadi dah jelas tentang status pampasan insurans konvensional. Sebagai langkah selamat, ambil lah polisi takaful. Bagi mereka yang memiliki polisi insurans konvensional, boleh ambil langkah segera untuk ‘convert’ kepada polisi takaful.

 

Memang benar kita berniat untuk mengelakkan waris susah menanggung bebanan selepas ketiadaan kita. Akan tetapi, hendaklah kita tinggalkan sesuatu yang halal untuk mereka. Agar ianya menjadi lebih barokah dalam kehidupan.

 

Jadi bagi yang perlukan khidmat nasihat tentang nak convert ke takaful ataupun ada yang terasa nak buat hibah dengan takaful, boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya. Insyaallah saya akan bantu anda lakukan nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *