Penama Polisi Takaful Bawah Umur – Apa Risikonya?

Setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini pasti ada risikonya tersendiri. Sama ada kita mampu tanggung atau tidak je la kan. Begitu juga dengan risiko penama polisi takaful bawah umur. Polisi anda, hak anda untuk tentukan penama betul tak? Tapi kena tahu risikonya dulu.

 

Majoriti bila saya menanyakan soalan kepada peserta takaful wanita, siapakah yang puan mahu letak nama sebagai waris? Kebanyakkannya mesti letakkan nama anak. Kenapa bukan suami? “Taknak suami, nanti saya takde dia kahwin lain. Baik bagi anak.” Lepas tu diselangi dengan gelak ketawa.

 

Namun persoalan nya sekarang boleh ke kita letak penama polisi takaful bawah umur 18 tahun?

 

Lazimnya, penama polisi takaful adalah orang yang akan menerima wang pampasan sekiranya berlaku kematian kepada pemilik polisi. Ianya juga adalah hak mutlak pada pemilik tersebut bagi menamakan siapa yang layak sebagai penama.

 

Jadi senang cerita, ikut suka dia lah nak letak nama siapa pun sebab tiada siapa yang boleh pertikaikan. Boleh letak seorang penama atau ramai penama. Sama ada nak letak nama suami / isteri atau pun tidak. Semuanya terletak atas pemilik polisi tersebut.

 

Boleh Ke Letak Penama Polisi Takaful Bawah Umur?

 

penama polisi takaful bawah umur

 

Fakta mengatakan wang yang tak dituntut di Amanah Raya berjumlah lebih dari 3 Billion. Jumlah ini termasuk daripada pelbagai sumber. Antaranya KWSP, ASB dan Tabung Haji. Termasuk jugalah duit pampasan daripada polisi insurans dan takaful.

 

Jadi selalunya saya akan advise kepada client agar tidak digalakkan menamakan anak sebagai penama. Terutamanya penama tunggal untuk polisi. Contohnya seorang isteri mengambil polisi takaful. Penama bagi polisi tersebut adalah anaknya yang baru berumur 2 tahun.

 

Nama suami tidak diletakkan sebagai penama dalam polisi. Tahukah anda sekiranya berlaku sesuatu, Anak tersebut masih tidak mendapat hak nya lagi. Ini disebabkan jatuh dalam kategori penama polisi takaful bawah umur. Duit tersebut hanya boleh dituntut apabila anak berumur 18 tahun.

 

Namun pampasan tersebut masih boleh dikeluarkan atas sebab-sebab yang munasabah seperti buat belanja belajar, beli peralatan belajar, perubatan dan perkara-perkara yang penting sahaja. Cuma penjaga perlu membuat surat rasmi menyatakan keperluan anak tersebut.

 

Dari situ kita akan nampak kerumitan sedikit untuk meminta duit lebihan untuk kegunaan lain sewaktu memerlukan. Saya sentiasa galakkan agar letak lah nama suami / isteri sebagai penama bagi polisi takaful anda.

 

Cara Yang Digalakkan Untuk Letak Penama Bawah Umur

 

Kalau rasa nak tinggalkan sedikit kepada anak, letaklah lebih dari satu penama. Contohnya sebahagian untuk suami/isteri manakala selebihnya untuk anak. Realiti kehidupan yang selalu saya jumpa untuk tidak mahu letak nama suami / isteri sebagai penama bagi polisi takaful mereka. Antaranya adalah:

 

  1. Bimbang pasangan enjoy duit tersebut dan lupakan anak-anak.
  2. Tak mahu pasangan belanja kan duit tersebut kepada pasangan baru mereka.
  3. Tidak percayakan pasangan bertanggungjawab untuk uruskan duit tersebut.
  4. Taknak pasangan bakal berkahwin lain.

 

Yang paling feveret sekali adalah “taknak pasangan bakal berkahwin lagi”. Pelbagai tanggapan yang saya dapat.Namun ianya lumrah manusia bila dapat duit, lupa segalanya. Jadi apa yang mereka fikirkan itu ada logiknya.

 

Tapi cuba bayangkan juga kesusahan yang bakal mereka tempuh sekiranya kehilangan anda suatu hari nanti. Beban perbelanjaan yang terpaksa mereka tanggung akan bertambah.

 

JIKA PASANGAN ADALAH PENAMA POLISI TAKAFUL SEBENARNYA MEMUDAHKAN UNTUK URUSKAN HARTA PUSAKA.

 

Contoh kita berikan isteri sejumlah wang dari takaful, nanti dia akan uruskan pusaka.

 

  1. Jika ada hutang, isteri bayarkan
  2. Kalau guna peguam, isteri bayarkan
  3. Sekiranya buat carian, isteri dapatkan
  4. Jika tebus bayar, isteri bayar bahagian
  5. Kalau nak buat sijil faraid, isteri bayarkan

 

Kan lebih mudah?

 

Kena “consider” juga perkara tersebut. Seelok-eloknya kita elakkkan letak penama tunggal terutamanya anak bawah 18 tahun. Kalau nak letak nama anak, letakkan sekali nama suami/isteri. Lagipun barulah adil semua dapat.

 

Realiti Kehidupan…

 

 

Mungkin dari apa yang saya ceritakan diatas nampak macam penama polisi takaful bawah umur ni perkara yang sangat remeh. Jadi saya akan kongsikan satu kisah yang “real” untuk anda hayati dan mungkin juga boleh jadikan tauladan. Teruskan membaca hingga habis.

 

Sepintas perbualan dengan seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah kematian suami kira-kira 10 tahun lepas. Suaminya seorang guru di sebuah sekolah di Pontian, Johor meninggal dunia kerana sakit ketika usia anak masih kecil. Tanpa sempat membuat apa-apa perancangan harta pusaka.

 

Oleh kerana Puan Imah seorang yang berkerjaya, biasa dengan urusan-urusan pejabat, beliau telah menguruskan segala urusan harta pusaka arwah suaminya dari permohonan surat kuasa mentadbir, pembayaran hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang kredit kad dan hutang rumah sehingga lah pertukaran milik rumah dan kereta arwah atas nama waris diselesaikannya. Lebih setahun jugalah urusan pusaka itu baru selesai.

 

Namun puan Imah agak terkejut dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah yang mengarahkan harta pusaka yang berhak diterima oleh anak perempuan mereka yang merangkumi wang simpanan, KWSP, ASB, takaful dan sebagainya dari arwah suami diserahkan kepada Amanah Raya.

 

Mahkamah tidak memberikan hak penjagaan harta anak tunggalnya yang ketika itu baru berusia 6 tahun, ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu kandung anak tersebut, yang melahirkan dan membesarkan, sihat akal dan tubuh badan, serta berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya tetapi kenapa mahkamah memutuskan dia tidak berhak menjaga harta pusaka yang sepatutnya diterima oleh anaknya?

 

Akur Dengan Keputusan Mahkamah….

 

 

Disebabkan keputusan mahkamah tersebut, selama 10 tahun ini Puan Imah membesarkan anaknya dengan duit gajinya. Nasib baik dia bekerja dan duit gajinya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas sara hidup mereka 2 beranak.

 

Walaubagaimanapun ada masa-masa tertentu pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan dan perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan wang anaknya yang dibawah jagaan Amanah Raya.

 

Jadi Puan Imah perlu pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor Bahru untuk dikeluarkan sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan dijaga di syarikat tersebut untuk menampung kos perbelanjaan anaknya.

 

Dalam 2 minggu biasanya permohonan diluluskan dan Puan Imah perlu kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil perbelanjaan yang telah diluluskan tersebut yang mana jarak rumah dan syarikat tersebut terletak lebih kurang 80km.

 

Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri untuk ke Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga hendak menaiki pengangkutan awam ke Johor Bahru. Begitulah rutinnya saban tahun selama 10 tahun ini dan rutin ini terpaksa diteruskan sehingga anak itu cukup umur 18 tahun beberapa tahun lagi.

 

Isteri Tak Dapat Hak Penjagaan Harta Anak Bawah Umur

 

Pasti ramai yang rasa terkejut dengan kenyataan diatas. Tapi itulah hakikatnya. Merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam :

 

‘Bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada datuk lelaki di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah mertua isteri). Jika datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi yang dilantik oleh bapa kanak-kanak tadi.’

 

 

Sekiranya tiada wasiat ditinggalkan oleh bapa dan dalam masa yang sama datuk telah meninggal dunia, isteri yakni ibu kepada anak terbabit tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anak yang masih bawah umur.

 

Jadi harta pusaka yang layak dimiliki oleh anak tersebut akan diserahkan kepada Amanah Raya sebagai badan yang bertanggungjawab untuk “menjaga” sehingga umur anak tersebut mencecah dewasa. Sekurang-kurangnya sehingga berumur 18 tahun.

 

Perkara ini termasuklah juga kesemua sumber harta yang layak antaranya KWSP, ASB, polisi takaful dan lain-lain lagi yang ada mengguna pakai konsep penamaan dalam proses transaksi. Jadi kita perlulah lebih berhati-hati dalam proses penamaan ini.

 

Ini kerana ramai diantara kita yang letak nama anak sebagai penama dengan tujuan seandainya berlaku sesuatu kepada kita, wang tersebut boleh digunakan oleh mereka nanti. Boleh lah mereka guna untuk teruskan kehidupan tanpa perlu fikir macam mana nak cari duit.

 

Akan tetapi berdasarkan undang-undang jika penama atau penerima hibah masih di bawah umur kompeten berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan diserah kepada Amanah Raya bukannya diserah terus kepada anak yang masih bawah umur ataupun kepada isteri atau ibu anak tersebut.

 

Boleh rujuk Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

 

Penting Ambil Tahu Tentang Penama

 

 

Cuba bayangkan sekiranya perkara ini berlaku kepada anda. Agak-agak macam mana isteri nak teruskan kehidupan? Nak harapkan daripada harta lain yang ada, kena bahagi ikut faraid. Apa lagi yang tinggal untuk para isteri?

 

Jadi saya amat menyarankan agar kita tidak boleh ambil mudah berkenaan penama ini. Selain KWSP, tabung haji dan ASB, polisi takaful juga harus disemak semula. Pastikan kita tidak meletakkan penama polisi takaful bawah umur.

 

Tak salah untuk kita ambil tahu. Jangan malu untuk bertanya dengan merujuk kepada yang pakar. Ini dapat mengelak daripada kita tersilap langkah. Seelok-elok nya letak lah isteri / suami sebagai penama. Jika rasa ragu-ragu, letakkan lebih dari satu penama.

 

Boleh letak nama anak atau ibu/bapa anda juga. Sebab dah jelas jika letak semua pada nama anak, nanti mereka tak boleh guna pun. Sebaliknya kena tunggu bertahun-tahun untuk layak membuat tuntutan. Kalau sekejap takpe lah. Macam mana kalau berpuluh tahun?

 

Bagaimana mereka nak teruskan kehidupan? Tak salah merancang awal. Meskipun ianya adalah sesuatu perkara yang belum pasti.

 

HARTA ITU PENUTUP AMAL KITA.

Harta boleh jadi dua perkara.

Boleh buat keluarga kita berantakkan atau rapat semula.

Yang penting, kita URUS.

 

Diharap perkongsian berkenaan risiko penama polisi takaful bawah umur ini dapat memberi sedikit info yang berguna untuk anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *